Berselendang di Melbourne, Hannah Yeoh beri penjelasan

Iklan
Hannah turut berkongsi foto dua program yang dihadirinya di Melbourne yang jarak waktunya agak rapat dan membuatkan beliau kekal dengan penampilan berselendang pada mesyuarat bersama Univerisiti Monash. Hantaran Hannah di Facebook beliau pada Khamis.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil memberi penjelasan susulan penampilannya yang berselendang semasa mesyuarat bersama Universiti Monash sempena lawatan delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melbourne, Australia pada Isnin lalu menimbulkan kontroversi.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, beliau memakai selendang untuk menghormati rakan-rakan Muslimnya kerana sebelum mesyuarat bersama Universiti Monash, delegasinya terlebih dahulu melawat sebuah sekolah Islam di Melbourne, Kolej Al-Taqwa.

Iklan
Iklan

"Ada yang bertanya mengapa saya memakai selendang dalam gambar yang diambil dengan Universiti Monash semasa lawatan kami ke Melbourne kerana ia bukan program keagamaan.

"Jadi saya memakai selendang untuk menghormati rakan-rakan Muslim saya di tempat-tempat suci mereka. Saya memilih untuk kekal dengan penampilan itu pula kerana saya tidak mahu terlambat untuk pertemuan dengan Universiti Monash dan Perdana Menteri kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, Hannah turut berdepan kontroversi apabila tindakannya memakai tudung semasa melawat sebuah masjid pada Disember 2021 mendapat kritikan.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, beliau kekal dengan penampilan itu kerana mesyuarat bersama Universiti Monash yang dijadualkan pada jam 12.15 tengah hari telah diawalkan.

Iklan

"Saya teliti dari segi cara memakai selendang. Saya suka kemas. Sebab itu saya sanggul kemas rambut untuk elak ikatan tercabut ketika di tengah-tengah program.

"Bagaimanapun, disebabkan mesyuarat bersama Universiti Monash telah diawalkan Perdana Menteri memutuskan untuk terus ke bilik mesyuarat apabila kami tiba di hotel. Pada jam 12.05 tengah hari kami sudah berada di bilik mesyuarat.

"Jadi tidak ada masa untuk saya membetulkan rambut. Media turut hadir dan saya fikir penampilan saya akan lebih rapi kalau saya rambut saya kekal ditutup dengan kemas,” ujarnya.

Hannah menegaskan, ketepatan masa dan protokol adalah perkara sangat penting buatnya selain sebagai seorang wanita, beliau tidak mahu muncul dalam foto media dengan rambut yang kelihatan tidak rapi dan tidak didandan.

"Ini adalah keputusan yang mudah namun saya sedih kerana perkara seperti ini terpaksa saya jelaskan di Facebook.

"Saya harap satu hari nanti selendang yang saya pakai tidak lagi menjadi isu. Saya juga harap perkongsian dibuat dapat memberi penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku,” kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28