PERATUSAN pengarah wanita yang meningkat kepada 29.7 peratus pada 2023 berbanding 14 peratus pada 2016 memberi satu suntikan kepada kaum Hawa untuk terus melonjakkan diri mereka dalam sektor pekerjaan.
Ia kerana seperti diketahui umum, industri pekerjaan di negara ini didominasi oleh kaum lelaki selain mereka juga dibayar gaji pada kadar yang lebih tinggi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Khamis dilaporkan berkata, dengan peratusan yang direkodkan itu Malaysia menyaksikan kemajuan ketara dalam merapatkan jurang jantina dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, bagaimanapun masih terdapat banyak usaha yang perlu dilakukan bagi merapatkan jurang itu.
Katanya, jurang gaji jantina di Malaysia masih lagi kritikal dan negara ini masih ketinggalan dari segi kemajuan di belakang negara Asia Tenggara yang lain.
Isu jurang gaji berkenaan sememangnya menjadi satu perkara yang membelenggu pekerja wanita sejak sekian lama.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada Disember tahun lalu, gaji yang diterima wanita dilaporkan lebih rendah kira-kira satu per tiga berbanding lelaki meskipun mereka mempunyai enrolmen yang lebih tinggi dalam pendidikan tinggi.
Kira-kira separuh daripada semua wanita negara ini mempunyai pendidikan tinggi dan hanya sekitar satu per tiga daripada lelaki mendapat pendidikan seumpama itu.
Data itu mendedahkan, bagi setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita hanya menerima RM66.67.
Situasi berkenaan menunjukkan wujud unsur ketidakadilan dan diskriminasi terhadap pekerja wanita hingga mempengaruhi keterlibatan mereka dalam sektor pekerjaan.
Sebagai pekerja, wanita juga berhak mendapat gaji besar bersesuaian dengan tanggungjawab yang dipikul dan tidak sewajarnya gaji diberikan berbeza mengikut jantina.
Oleh itu, langkah lebih progresif perlu dilakukan kerajaan supaya golongan wanita turut mendapat gaji setara dengan lelaki serta tidak ditindas oleh majikan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28