KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang mengatakan bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited meletakkan pemerkasaan wanita menerusi konsep Malaysia Madani tepat pada masanya.
Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun, peranan dan sumbangan wanita kini selayaknya mendapat pengiktirafan.
Pada 14 Februari lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah melancarkan logo Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang mengangkat tema ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’.
Tema itu dipilih bagi menunjukkan kepentingan mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender pada semua peringkat sebagai usaha memartabatkan wanita di negara ini.
Peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek juga merupakan tonggak utama kepada pembangunan sosial masyarakat.
Nancy menyatakan bahawa beberapa inisiatif penting akan menjadi tumpuan kementerian antaranya peningkatan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan, toleransi sifar keganasan terhadap wanita, peningkatan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi, dan penambahbaikan persekitaran bagi menjamin kesejahteraan wanita.
Usaha itu perlu diperkasakan seiring agenda mengarusperdanakan kesaksamaan gender supaya saling melengkapi, seterusnya akan membuka lebih banyak ruang bagi mencapai inklusiviti untuk wanita.
Di peringkat Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui agensinya, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) pula memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Wanita MyWIRA yang bertujuan untuk mengurangkan jurang tenaga kerja.
Sebagai agensi yang ditugaskan untuk menggerakkan strategi bakat, Wanita MyWIRA akan menjadi sebuah hub inisiatif yang akan memperkasa wanita serta menstruktur kesemua program-program wanita di bawah seliaan TalentCorp.
Pencapaian dan kejayaan wanita tidak boleh disangkal lagi.
Mereka bukan sahaja berjaya mencipta nama dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Buktinya baru-baru ini tiga wanita rakyat Malaysia tersenarai dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2024 yang menampilkan 50 wanita di seluruh Asia Pasifik.
Mereka ialah Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, peguam Ambiga Sreenevasan dan pengarah filem dan pengasas Current Pictures, Tunku Mona Riza Tunku Khalid.
Menurut Forbes, wanita tersenarai berasal dari 14 negara dan wilayah membabitkan puluhan sektor pekerjaan di mana pengaruh mereka merangkumi fesyen, farmasi, kewangan dan sebagainya.
Bukan sahaja dalam sektor tersebut, malah wanita juga berani menyahut cabaran.
Sebagai contoh apa yang dilakukan pendaki wanita berusia 50 tahun, Zarina Abd Rahman yang melakukan aktiviti sukan lasak dengan meletakkan prinsip hidup jantina dan umur bukan penghalang melakukan aktiviti itu.
Zarina mengatakan, beliau tidak pernah meletakkan satu tanggapan bahawa aktiviti sukan ekstrem hanya layak dilakukan golongan Adam sahaja.
Dan disebabkan prinsip itu, dia berjaya mendaki lebih daripada 50 bukit termasuklah gunung di Malaysia dan Indonesia.
Hebat bukan!
Bukan sahaja Zarina, pada Februari lalu, seramai 11 wanita negara ini membabitkan pelbagai peringkat usia berjaya menakluk Gunung Pulag iaitu puncak ketiga tertinggi di Filipina.
Mereka antara 14 pendaki Malaysia yang menawan gunung dengan ketinggian 2,926 meter dari aras laut jam 7.30 pagi waktu tempatan selepas empat jam mengharungi cuaca sejuk dan berangin.
Jika zaman dahulu wanita hanya duduk di ceruk dapur, namun kini segalanya telah berubah.
Wanita kini bukan sekadar tangan yang mengayun buaian, malah mampu menggoncang dunia.
Ungkapan ini jelas membuktikan walaupun wanita bersifat lemah lembut dan keibuan, namun mereka tetap mampu menyumbang tenaga serta idea untuk membangunkan negara.
Selamat Hari Wanita Antarabangsa buat semua wanita-wanita di negara ini dan seluruh dunia.
Anda manusia hebat!
* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28