Sesak 8km angkara gulungan kertas

Iklan
Kemalangan membabitkan lori treler muatan gulungan kertas dan sebuah kereta menyebabkan kesesakan 8km dari Terowong Menora ke Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak awal pagi tadi. - Foto pembaca

IPOH - Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terpaksa berdepan kesesakan trafik sejauh 8 kilometer (km) berikutan kemalangan melibatkan sebuah lori treler bersama muatan gulungan kertas dengan sebuah kereta di KM249.6 arah utara dari Terowong Menora ke hentian Sungai Perak di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kejadian berlaku jam 6 pagi apabila sebuah kereta yang mengalami kerosakan berhenti di lorong kecemasan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu lori treler dengan muatan gulungan kertas dari arah selatan yang dipandu di lorong kiri hilang kawalan sebelum merempuh kereta terbabit.

"Kereta tersebut terseret ke depan sebelum kedua-dua kenderaan itu berpusing yang kemudian mengakibatkan muatan gulungan kertas terkeluar dari lori dan berselerak di atas jalan.

Iklan

"Kemalangan juga mengakibatkan kelindan lori dan pemandu kereta mengalami kecederaan, manakala pemandu lori selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gulungan kertas terkeluar dari lori dan berselerak di atas jalan. - Foto pembaca

Beliau berkata, mangsa yang cedera masing-masing menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Iklan

Sementara itu, Plus Malaysia Berhad menerusi kemas kini di Twitter memaklumkan, akibat kemalangan itu, semua lorong ditutup berikutan muatan lori bertaburan di atas jalan.

Menurutnya, seawal jam 7.50 pagi hanya lorong kanan dibuka untuk kenderaan, manakala laluan kiri masih terhalang.

Jelas Plus, kedua-dua lorong dibuka pada jam 8.41 pagi, namun keadaan trafik masih perlahan.