HONG KONG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini di peringkat akhir menyediakan draf Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) Malaysia yang pertama, dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi, kata menterinya, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, sehingga peringkat ini, kementeriannya telah mengadakan banyak sesi dialog awam dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan negeri lain.
"Melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), kita telah menyiapkan garis panduan utama pembangunan semula bandar bagi Malaysia dan ia telah diluluskan oleh Kabinet pada 2023.
"KPKT bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi terutamanya bahagian penyediaan draf dari jabatan Peguam Negara untuk menyediakan undang-undang tersebut," katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama dan The Edge semasa Lawatan Pengkaji Asia Hartanah (AREL) di Hong Kong dan Shenzhen, Edisi China.
Lawatan tersebut dianjurkan oleh Institut Rehda, bahagian penyelidikan dan latihan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia dengan lebih 50 wakil melawat pelbagai tapak unik, merangkumi pembangunan semula bandar dan dasar perumahan awam serta undang-undang strata.
Delegasi terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk arkitek, juruukur, penilai, penyelidik, pemaju, perancang bandar, peguam, bankir, dan pihak berkuasa kerajaan.
Sementara itu, Kor Ming berkata, apabila Akta tersebut diluluskan Parlimen, ia akan mencipta peluang berganda dan peluang pelaburan yang melimpah untuk mengubah landskap bandar serta menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) yang mencecah berbilion ringgit.
Selain itu, kebakaran yang melibatkan nilai kerugian RM2.62 bilion yang direkodkan tahun lalu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) antaranya adalah disebabkan masalah pendawaian rumah yang dapat dielakkan, katanya.
Perancangan dan pembangunan bandar adalah agenda ekonomi dan sosial penting bagi Malaysia, terutamanya dengan kadar urbanisasi semasa pada 78 peratus, yang dijangka akan meningkat kepada 84 peratus menjelang 2040.
Di Kuala Lumpur, Kor Ming berkata, jika tiada inisiatif dilakukan, banyak kawasan kurang membangun yang mungkin berpotensi wujud 20 tahun lagi boleh menyebabkan banyak perumahan strata buruk, usang dan tidak layak didiami di Kuala Lumpur terutamanya di Pandan Indah, Sentul dan di Petaling Jaya, Selangor.
"DBKL telah mengenal pasti 139 tapak berpotensi yang merangkumi kira-kira 1,372 ekar (555.22 hektar) tanah dalam bidang kuasa DBKL yang sesuai untuk pembangunan semula.
"Pembangunan semula bandar akan merangkumi empat ruang lingkup, pertama iaitu pembangunan semula bandar bermaksud anda merobohkan, kemudian anda membina semula, kedua ialah pemulihan bandar dan ketiga penyegaran semula bandar.
"Dan terakhir, pemuliharaan bandar dengan bangunan warisan negara bukan sahaja kita tidak boleh merobohkannya, tetapi ia juga harus dikekalkan," katanya.
Beliau memberikan contoh pasar tertua, Pasar Taiping yang merupakan pasar awam pertama di Tanah Melayu dibina pada 1874, kini sedang melalui pemuliharaan semula secara besar-besaran dan dijangka siap Oktober nanti.
"Proses pemulihan itu sangat sukar...ia kini sedang dibina semula menggunakan bahan binaan yang sama seperti kayu dan warna bagi mengekalkan bentuk warisan dan suasana pasar yang asal untuk memberi lebih nilai sejarah selain menarik pelancong,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28