KUALA LUMPUR - Garis panduan governan dan kod etika bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) sudah memasuki fasa akhir pembangunan dengan status pencapaian 90 peratus.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), berdasarkan garis masa pembangunannya, dokumen itu dijadual dibentangkan di Kabinet bulan ini sebelum dilancarkan pada April 2024.
"Garis panduan itu dibangunkan khusus untuk tiga kategori utama iaitu pengguna dan orang awam, penggubal polisi dan penyedia atau pembangun teknologi berasaskan AI.
"Secara umumnya, ia menerangkan tujuh prinsip AI yang bertanggungjawab dapat diterjemah dan diterapkan ketiga-tiga kategori utama. Pematuhan kepada garis panduan ini dapat memastikan penggunaan AI yang beretika dan selamat,” menurut MOSTI dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan yang dikemukakan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu status terkini pembangunan kod etika dan tadbir urus AI dan bagaimana ia selari dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025.
MOSTI memaklumkan sesi konsultasi awam kini sedang dilaksanakan dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui portal Perundingan Awam Bersatu (UPC) dan tempoh minimum konsultasi berlangsung selama dua minggu.
"Dokumen garis panduan tersebut sedang diedarkan untuk konsultasi awam sehingga hari ini (8 Mac).
"Tujuan sesi ini adalah untuk mendapatkan pandangan daripada orang awam ke atas draf dokumen bagi tujuan penambahbaikan garis panduan tersebut sebelum dimuktamadkan,” menurut MOSTI. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!