KUALA LUMPUR - Indeks harga seunit besi meningkat antara 0.1 peratus hingga 1.9 peratus bagi kebanyakan kawasan pada Februari 2024 berbanding Januari 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi harga seunit besi dicatatkan di Kota Kinabalu (1.9 peratus), diikuti oleh Terengganu dan Kelantan, dan Sibu (masing-masing 0.7 peratus).
"Perbandingan bulanan bagi indeks harga seunit keratan keluli dan logam pula kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Sementara itu, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan ini bagi Terengganu dan Kelantan (0.7 peratus), Johor (0.3 peratus) dan Miri (0.2 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, terdapat peningkatan kecil bagi indeks harga seunit bahan ini di Perak (0.4 peratus) dan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.1 peratus).
Perbandingan tahunan untuk tempoh Februari 2023 dan Februari 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.9 peratus hingga 10.2 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Mohd Uzir berkata, purata harga simen (Ordinary Portland) di Malaysia kekal tidak berubah berbanding Januari 2024 dengan purata harga RM22.97 per 50 sekilogram sekarung.
Sementara itu, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar ubah bentuk tegangan tinggi Mycon 60 merekodkan peningkatan kecil (0.4 peratus) dengan purata harga RM3,679.54 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Januari 2024: RM3,664.51 per tan metrik).
DOSM berkata, bermula Januari 2024, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori bangunan dan kawasan adalah diasaskan semula kepada Januari 2023 sama dengan 100 (Januari 2023=100).
Sementara itu, katanya menurut artikel daripada laman sesawang Bank Dunia pada Januari 2024, harga logam diramalkan turun lima peratus pada 2024, selepas susut hampir 10 peratus pada 2023 berbanding 2022.
"Bagaimanapun, ia diunjurkan kembali stabil pada 2025. Risiko utama kepada ramalan harga ini antaranya adalah permintaan yang lebih perlahan daripada jangkaan dari China dan negara maju lain serta gangguan dalam pengeluaran,” katanya.
Menurut DOSM, artikel itu turut menyatakan peningkatan konflik terbaharu di Timur Tengah juga boleh mengganggu perdagangan dan kestabilan harga komoditi ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!