SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengekalkan kadar zakat fitrah tahun ini mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang.
LZS dalam kenyataannya memberitahu, penetapan kadar zakat itu berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di negeri ini pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
Menurut kenyataan itu, kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 untuk pengguna beras super special tempatan lima peratus dan ia merupakan kadar wajib minima sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
"Kadar RM14 adalah bagi pengguna beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Jelas kenyataan itu, kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang memakan beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.
Kenyataan itu memberitahu, zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah diperkenalkan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.
Sehubungan itu, kenyataan itu menambah, tiga jenis kupon fitrah berwarna yang bersandarkan nilai mata wang Ringgit Malaysia digunakan sepanjang Ramadan ini.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, LZS melantik seramai 2,778 Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.
"Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAF yang dilantik berdasarkan kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan oleh LZS," jelas kenyataan itu.
Pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 96 maahad tahfiz serta sekolah agama swasta di negeri Selangor.
Kenyataan itu menambah, bersempena Ramadan ini juga, LZS turut menyediakan Zakat On Wheels di lokasi strategik seperti di masjid, bazar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya di sekitar Selangor bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan LZS.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu memaklumkan, LZS akan membuka 18 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini.
"Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.
"Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang," jelas kenyataan itu.
LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.
Antara saluran pembayaran zakat yang boleh dilakukan secara dalam talian EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my, perbankan internet, Portal MyEg, pos online dan aplikasi e-dompet MAE, Touch N Go, Selangkah, GoPayz dan Boost.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28