KLANG - Pasangan suami isteri yang sedang leka membungkus dadah di kediaman sewanya dekat sini terbantut selepas diserbu polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan kira-kira jam 2.20 petang pada 29 Februari lalu itu dilakukan hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, susulan tangkapan pasangan tempatan berusia lingkungan 30-an itu membawa kepada penemuan dua ketulan mampat ganja, 600 paket heroin dan 15 paket syabu yang kesemuanya seberat lebih satu kilogram.
"Selain itu, kita turut merampas satu penimbang digital, plastik pembungkusan dan sejumlah wang dengan nilai keseluruhan kira-kira RM60,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit menjadikan rumah sewa itu sebagai lokasi pembungkusan dadah.
Katanya, dadah itu dipercayai akan diedar di sekitar Klang.
"Siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif sejak enam bulan lalu selain suspek lelaki memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah," ujarnya.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berlainan, Hoong Fong berkata, pihaknya turut memberkas seorang lelaki disyaki mengedar ekstasi bernilai RM229,100 di sebuah hotel di daerah ini, 26 Februari lalu.
"Penahanan suspek berusia 28 tahun itu menemukan 100 paket bahan minuman berisi dadah dipercayai untuk diedar di pusat hiburan," katanya.