KUALA NERUS - Taburan hujan yang berkurangan diramal menyebabkan keadaan cuaca menjadi lebih kering dan panas sepanjang Ramadan ekoran fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.
Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan angin timuran yang biasanya bertiup ke arah Malaysia menjadi lemah dan bertukar ke arah Lautan Pasifik.
Menurutnya, hujan sukar terbentuk apabila kelembapan di kawasan negara berkurangan dan beralih ke arah lautan Pasifik menyebabkan corak cuaca menjadi lebih kering dan panas.
"Sekiranya hujan lama tidak turun, kualiti udara boleh juga mengalami penurunan kerana hujan yang membersihkan zarah-zarah habuk yang terampai di atmosfera.
"Keadaan ini juga menyebabkan kawasan hutan dan belukar boleh menjadi kering dan berisiko untuk terjadinya kebakaran.
"Jika keadaan kering dan panas ini berterusan dan bertambah serius, bekalan air boleh terjejas," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau berkata, Climate Prediction Center (CPC), National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) dalam perbincangan pada awal bulan lalu memaklumkan bahawa mereka mendapati keadaan di Lautan Pasifik Timur dan Timur Tengah sudah menunjukkan tanda-tanda pengakhiran kejadian El Nino.
Katanya, terdapat kebarangkalian sekitar 79 peratus untuk keadaan itu kembali pulih kepada situasi biasa antara April hingga Jun depan.
"Saya berpandangan bahawa kita tidak perlu terlalu risau terhadap kejadian El Nino kerana sekiranya jangkaan CPC ini tepat, kesan negatif El Nino terhadap Malaysia, termasuklah Terengganu tidak akan berlarutan dalam tempoh panjang.
"Dengan persiapan yang mencukupi dan sentiasa mengikuti saranan agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), kita mungkin tiada masalah untuk menghadapi dugaan alam semula jadi ini," katanya.
Meskipun begitu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kesihatan secara lebih optimum dan tidak sesekali melakukan tindakan yang berisiko menyebabkan pembakaran terbuka.