YOGYAKARTA - Jemaah di Masjid Aolia Daerah Panggang, Gunungkidul, Yogyakarta sudah mula menunaikan solat Tarawih pada Rabu lalu dan secara tidak langsung menyambut 1 Ramadan atau berpuasa pada Khamis.
Hal tersebut diketahui selepas tular satu video perkongsian menunjukkan jemaah masjid berkenaan menunaikan solat Tarawih dimuat naik di platform TikTok.
Imam Masjid Aolia, KH Ibnu Hajar Sholeh Pranolo atau Mbah Benu berkata, solat Tarawih yang dilakukan oleh jemaah di masjid berkenaan sama dengan solat Tarawih yang dilakukan di lokasi lain.
"(Solat Tarawih) saya dengan witirnya itu 23 rakaat. Sebaiknya kita saling hormat menghormati. Sebab ini masalah keyakinan," tambahnya.
Selain itu, sejumlah jemaah lain juga turut mengadakan solat Tarawih di masjid sekitar 20 meter dari rumah imam itu.
Menurut KompasTV, Ketua Pejabat Wilayah Kementerian Agama (Kanwil Kemenag) Gunungkidul, Sa'ban Nuroni pernah berkata, pihaknya akan terus memudahkan jemaah Aolia walaupun terdapat perbezaan pendapat mereka.
"Kami mengajak orang ramai untuk menunaikan solat sunat hari raya mengikut hari yang diyakininya,” kata Sa’ban dipetik dari Tribun Jogja.
Beliau juga berharap umat Islam lain menghargai dan menghormati apa yang dilakukan oleh jemaah Aolia kerana haya mereka memahami perbezaan ini. - Agensi