PETALING JAYA - Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak menikam rakannya kerana hutang RM30 di Sungai Way, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam apabila suspek berusia lingkungan 20-an itu datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang.
Menurutnya, berlaku pergelutan semasa kejadian sebelum suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada kiri serta mengelar leher mangsa.
"Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.
"Kejadian berlaku apabila suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah tidak berpuas hati kerana mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah sebelum bertindak di luar kawalan menikam mangsa,” katanya pada Jumaat.
Shahrulnizam berkata, susulan itu, polis menahan suspek pada jam 1 pagi di rumahnya yang berada berhampiran dengan rumah mangsa.
Tambahnya, mangsa berusia lingkungan 20-an telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini dilaporkan stabil.
"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
"Suspek telah direman sehingga 12 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.