IPOH - Polis telah merakam percakapan tujuh orang saksi setakat ini berhubung kes penemuan beberapa nota berbaur ugutan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang diletakkan di hadapan rumah ibunya di Ayer Tawar, Manjung semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, rakaman percakapan kesemua saksi itu dibuat bagi membantu usaha mengesan suspek, bagaimanapun setakat ini suspek masih belum dikenal pasti.
Semalam, Mohamed Nordin dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nota ugutan itu daripada ibu Kor Ming kira-kira jam 10.15 pagi, selepas wanita berumur 76 tahun itu menemukan banyak kertas bertaburan di hadapan rumahnya yang memaparkan tulisan perkataan berbaur ugutan, pada kira-kira jam 7.30 pagi.
Mohamed Nordin berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan meminta mereka yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Fariq Nazmi Mohd Mustafa dengan menelefon 013-3317099 bagi membantu siasatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!