TAWAU - Seorang mekanik dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Tawau di sini pada Jumaat, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu hampir 200 kilogram dua tahun lalu.
Hukuman itu dikenakan terhadap Tai Chee Khiong, 51, menerusi penghakiman oleh Datuk Dr Lim Hock Leng selepas mengambil kira jumlah berat dadah terbesar di Sabah.
Ketika membacakan keputusan Hock Leng berkata, tertuduh mempunyai pengetahuan dan milikan secara langsung terhadap dadah seberat 199,950.01 gram.
Katanya, jika mengambil kira berat dadah bagi semua kes mahkamah di Tawau untuk tempoh tiga tahun, ia tidak menyamai jumlah tangkapan dadah membabitkan kes tertuduh.
Jelasnya, tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas kesalahan yang dilakukan dan hanya mendiamkan diri apabila diberi peluang bercakap di mahkamah sebelum hukuman dibacakan terhadapnya.
Mahkamah juga mendapati pihak pembelaan dalam hujahnya hanya menyentuh mengenai kesalahan pertama tertuduh tanpa menyatakan apa-apa mengenai kekesalan anak guamnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Batu Payung, Tawau, pada jam 7.30 malam, 6 September 2021.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain dan Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam, Darmin Achok.
Hurman dalam hujahannya berkata, walaupun keputusan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah, namun pihaknya berharap agar hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh atas faktor jumlah berat dadah dan kepentingan awam.
Sepanjang perbicaraan itu, pihak pendakwaan telah mengemukakan lima saksi manakala seorang saksi bagi pihak pembelaan iaitu tertuduh sendiri.
Untuk rekod, sabitan kes ini adalah kes pertama Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman mati selepas pemansuhan hukuman mati mandatori yang berkuatkuasa 4 Julai 2023.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28