PEKAN - Kadar minimum zakat fitrah di Pahang bagi Ramadan tahun ini kekal RM7 seorang.
Bagaimanapun, buat pertama kalinya umat Islam yang berkemampuan di negeri ini diwajibkan menunaikan zakat fitrah mengikut jenis dan harga beras digunakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, individu yang menggunakan beras wangi atau setara, kadar zakat fitrahnya RM14 manakala RM21 bagi individu yang menggunakan beras Basmathi atau seumpamanya.
Menurutnya, resit zakat fitrah tahun ini dikeluarkan mengikut kadar bayaran yang ditetapkan.
"Seramai 918 amil telah ditauliahkan bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini dan umat Islam di Pahang dinasihatkan membayar zakat fitrah mereka melalui amil yang bertauliah.
"Selain itu, kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui pautan ezakat.muip.gov.my dan kod QR Bank Muamalat juga turut disediakan," katanya pada sidang akhbar sempena pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2024 di Pejabat Muip, di sini pada Jumaat.
Ahmad Hairi berkata, mana-mana pihak yang mengutip zakat fitrah tanpa tauliah atau kebenaran Muip merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, katanya, sempena Ramadan ini, Muip akan mengagihkan bantuan lebih RM20.2 juta kepada 38,965 penerima.
"Daripada jumlah itu, RM5.2 juta akan diagihkan untuk bantuan menyambut Ramadan kepada 11,550 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan asnaf, fakir miskin penerima zakat bulanan..
"Lebih RM4.2 juta disediakan untuk sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan kepada 686 masjid dan surau kebenaran Jumaat di negeri ini.
"Sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan berjumlah RM292,500 akan diagihkan kepada 149 maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar," jelasnya.
Beliau berkata, sempena Syawal pula, pihak majlis turut mengagihkan bantuan tahunan hari raya Aidilfitri lebih RM8.8 juta kepada 17,799 KIR asnaf fakir miskin daripada penerima bantuan bulanan dan yang disenaraikan amil.
"Golongan saudara baharu juga akan menerima bantuan itu melalui peruntukkan lebih RM1.5 juta melibatkan 8,781 KIR," katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!