PUTRAJAYA - Human Rights Watch (HRW) dicabar untuk mengemukakan bukti berlakunya penderaan dan kematian tahanan di depot Imigresen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bukti berkenaan diperlukan bagi membolehkan siasatan dapat dilaksana dengan segera.
"Kalau boleh nyatakan maklumat lengkap di mana dan bila perkara itu berlaku serta siapa mangsanya," ujar beliau menerusi sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Jumaat.
Menurutnya, HRW juga dipelawa untuk hadir menemui beliau bagi menjelaskan perkara tersebut.
"Saya tidak akan berlengah-lengah untuk membuat siasatan, isu hak asasi ini bukan bukan sekadar soal warga asing tetapi prinsip kita adalah mempertahankan hak asasi setiap manusia yang bernyawa," jelas Saifuddin.
Beliau berkata, jika HRW gagal membuktikan, ia bermakna pendedahan tersebut hanyalah bersifat khabar angin.
"Saya tidak tahu sama ada HRW tahu bahawa setiap depot kita ada pegawai perubatan.
"Pemeriksaan kesihatan dibuat berkala dan saya melihat sendiri bagaimana proses itu dilakukan. Makanan juga diberi mengikut jadual," katanya.
HRW menerusi laporan yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa lebih 1,400 kanak-kanak ditahan di depot Imigresen dengan dua pertiga daripada mereka tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga.
Laporan itu juga mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa - termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.
Jelas Saifuddin, lebih 1,000 tahanan kanak-kanak di 19 depot telah diasingkan di Baitul Mahabbah.
"Mereka ini kita asingkan sementara menunggu proses dokumentasi selesai dan dihantar pulang ke negara masing-masing," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!