Siasatan insiden anggota bomba lemas ketika selenggara bot hampir siap

Iklan
Aiman Athirah menyampaikan replika cek bayaran pampasan dan faedah takaful kepada isteri allahyarham Mohd Izwan, Jamaliah di Pekan Darat, Butterworth pada Jumaat.

BUTTERWORTH - Siasatan berhubung insiden kematian seorang anggota bomba yang lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin pada 22 Februari lalu hampir lengkap dan akan diperoleh dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa khas kini dalam peringkat akhir penyiasatan khususnya tumpuan kepada prosedur operasi standard (SOP) menyelenggara bot.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga telah merekodkan keterangan dua orang saksi yang bersama mangsa dan berada di lokasi kejadian terbabit untuk melihat sebarang kemungkinan yang berlaku.

"Kita jangka dalam masa dua minggu siasatan akan dilengkapkan sebelum dapat rumuskan dapatan keseluruhan insiden yang berlaku termasuk melihat apakah kaedah yang perlu ditambah baik pada SOP yang sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah keluarga Allahyarham Mohd Izwan Ilias di Pekan Darat dekat sini pada Jumaat.

Iklan
Aiman Athirah (tiga dari kiri) ketika menziarahi keluarga anggota bomba yang lemas ketika menyelenggara bot pada 22 Februari lalu.

Sebelum itu, Nor Hisham mengiringi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyampaikan bayaran pampasan kerajaan,faedah kumpulan wang kebajikan bomba dan faedah takaful berkelompok sepenuh masa JBPM kepada balu Allahyarham, Jamaliah Abd Majid bernilai RM272,923.07.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Zakaria Taib.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota bomba mati lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin.

Mohd Izwan Ilias, 42, yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikatakan terjatuh ke dalam sungai di kawasan itu ketika menyelenggara bot penyelamat.

Mayat mangsa ditemukan selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak berusia enam hingga 16 tahun.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata, kebajikan dan pendidikan anak-anak Allahyarham pastinya akan diberi keutamaan melalui bantuan yang disediakan kerajaan sama ada melalui JBPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

"Diperingkat JKM, kesemua anak-anak Allahyarham layak mendapat bantuan bulanan sehingga mereka berumur 18 tahun dan pastinya kita akan pastikan kesemua mereka mendapat pendidikan sempurna.

"Insya-ALLAH, melalui perbincangan yang telah dilakukan bersama agensi sama ada di peringkat pusat dan negeri, kita akan pastikan keluarga allahyarham mendapatkan bantuan sewajarnya sedikit masa lagi," katanya.