Loji Janakuasa Biojisim RM18 juta dibangunkan di Chembong

Iklan
Aminuddin (tengah) menandatangani plak pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Biojisim Nestle Malaysia di Rembau pada Jumaat.

REMBAU - Loji Janakuasa Biojisim dibangunkan Nestle Malaysia melibatkan kos RM18 juta dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pelepasan gas karbon, di kompleks perindustriannya di Chembong di sini.

Loji berkenaan telah memulakan operasinya pada hujung tahun lalu oleh Nestle melalui kerjasama dengan rakan teknologi, ENCO Systems Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin berkata, usaha dilakukan oleh pihak Nestle itu diharap dapat dicontohi pihak lain dalam usaha berterusan melindungi sumber alam dan memastikan kelestarian alam sekitar di negeri dan negara ini.

"Jika pihak Nestle membangun sebuah Loji Janakuasa Biojisim yang dianggap terbukti dapat memberikan kesan yang baik kepada alam sekitar, semestinya pihak kerajaan akan memastikan segala polisi dan dasar yang akan datang perlu selari dengan kesan kelestarian alam sekitar.

Iklan

"Dengan adanya usaha dan kesungguhan pihak kerajaan negeri menggalakkan kewujudan industri yang menggunakan teknologi hijau seperti ini, maka secara tidak lansung negeri ini akan dilihat sebagai pusat perindustrian yang inovatif dan lestari," katanya.

Aminuddin (enam dari kiri) memotong reben pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Biojisim Nestle Malaysia di Rembau pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Biojisim Nestle Malaysia di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam masa sama katanya, kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta amat penting untuk mencapai matlamat tersebut.

"Saya amat kagum dengan syarikat-syarikat yang berpandangan jauh dan berusaha gigih dalam inovasi mereka yang lebih mengutamakan matlamat kelestarian alam sekitar dalam perniagaan mereka.

"Kita semua maklum bahawa kawasan perindustrian sememangnya akan berhadapan dengan isu pelepasan gas karbon yang tinggi kerana penggunaan bahan api dan jika lebih banyak industri bertukar kepada penggunaan teknologi tenaga hijau, maka kewujudan kawasan-kawasan industri selepas ini tidak akan menjadi beban kepada alam sekitar pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, Loji Janakuasa Biojisim menggunakan tandan buah sawit kosong (EFB) dan tempurung isirung sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

"Ia bagi menggantikan bahan api fosil untuk menjana stim yang digunakan bagi proses pemanasan dalam operasi pengeluaran kami.

"Pendekatan ini adalah sebahagian daripada kitaran karbon semula jadi dan tidak menghasilkan emisi karbon jangka panjang serta menjadikannya neutral karbon.

"Kami berbangga untuk meraikan perjalanan luar biasa kilang Chembong yang kini menjangkau 30 tahun dengan satu pelaburan penting ke arah kelestarian alam sekitar," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28