Kes influenza A di Selangor terkawal

Iklan

SHAH ALAM - Kes influenza A di Selangor masih berada pada tahap terkawal buat masa ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun sekiranya angka kes itu menunjukkan peningkatan, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani permasalahan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara langkah yang akan diambil adalah seperti memberi pelepasan dan cuti di sekolah-sekolah berhampiran kawasan terlibat.

"Saya telah mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara ini dan keadaan masih terkawal buat masa ini.

Iklan

"Namun kalau angka (kes) bertambah dan kadar penyebaran (wabak) itu pantas, maka kita akan ambil tindakan tertentu seperti memberi pelepasan dan cuti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari hari ini.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dimaklumkan dua kejadian jangkitan influenza A berlaku di Cyberjaya dan Klang pada Rabu lalu.

Iklan

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman bagaimanapun berkata, tiada sebarang penutupan sekolah di Selangor dilakukan berikutan kejadian penyakit influenza ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud juga sedang mendapatkan maklum balas lanjut berhubung status jangkitan influenza A berkenaan.

"Saya sebagai Exco Pendidikan juga sedia maklum mengenai perkara ini dan saya percaya KKM akan maklumkan jika ada kelihatan tanda-tanda serius," katanya.