Parlimen Malaysia tidak boleh renggang dengan rakyat - Johari

Iklan
Johari Abdul

SUNGAI PETANI - Parlimen Malaysia tidak boleh renggang dengan rakyat sebaliknya rakyat perlu diberi penjelasan mengenai peranan dan fungsi sebenar institusi itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ketika beliau mula menjadi Ahli Parlimen kira-kira 15 tahun lepas, Parlimen dilihat seolah-olah sebagai sebuah 'mahligai' yang terasing daripada masyarakat negara ini.

Iklan
Iklan

"Masyarakat khususnya di luar bandar, tidak tahu apa peranan Parlimen...Parlimen dilihat sebagai tempat Ahli Parlimen bersidang, bergaduh, bertepuk meja, bertengkar, maki hamun...sedangkan Parlimen adalah tempat yang mulia, buat undang-undang.

"Parlimen Malaysia tidak boleh renggang daripada rakyat..apa juga keputusan dalam Parlimen bukan sahaja sampai kepada pemerintah tetapi juga perlu sampai ke bawah...sebab itu rakyat perlu tahu peranan sebenar Parlimen," katanya semasa berucap pada Majlis Menuju Ambang Ramadan Bersama Rakyat, Asnaf dan Anak Yatim kawasan Parlimen Sungai Petani di sebuah hotel di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, siaran langsung persidangan Dewan Rakyat contohnya dapat memberikan pendedahan kepada rakyat tentang apa sebenarnya yang berlaku di Parlimen dan peranan yang dimainkan oleh Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Rakyat boleh menilai, kita tidak mahu rakyat cuma menilai prestasi Ahli Parlimen itu, lima tahun sekali sebelum pilihan raya, tetapi kita nak lihat sama ada wakil rakyat kita bercakap bagi pihak kita dalam hal-hal yang kita nak dia bercakap.

Iklan

"(Sebagai contoh) tentang harga barang, tentang hal-hal keselamatan di tempat kita, tentang pendidikan, tentang perniagaan, tentang beras, ayam, tentang macam-macam yang kita lalui kesusahan, wakil rakyat kita mesti bercakap di Parlimen," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, barisan kepimpinan negara yang ada ketika ini akan digantikan dengan barisan kepimpinan muda pada masa hadapan.

"Saya berjumpa dengan ribuan anak muda di universiti...antara yang saya sampaikan khususnya untuk anak-anak muda ini bahawa negara ini milik kita semua...saya akan tinggalkan semua ini kelak dan perlu ada pengganti yang lebih baik daripada saya untuk memainkan peranan ini.

"Kita beri mereka semangat supaya mereka bersedia bukan sahaja fizikal tetapi juga mental...bila tiba masanya untuk mereka terus memerintah negara, perintah dengan sikap yang betul, niat yang betul untuk menolong rakyat dan membangunkan negara yang amat kita sayangi ini," katanya.

Terdahulu beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-kanak Insan Berkat, Kampung Sungai Jagung dekat sini manakala 300 asnaf dari kawasan Parlimen Sungai Petani, menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Turut hadir Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28