MAKKAH - Perbandaran Kota Suci Makkah, Arab Saudi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menjelang Ramadan dengan mempergiat pemeriksaan sampel makanan yang dipamer dan disediakan di pasar, restoran dan gerai sekitar Tanah Haram.
Perbandaran itu menjelaskan tiga makmal bergerak telah digerakkan bermula Khamis, sebagai tambahan kepada makmal pusat bagi menganalisis sampel makanan dan air yang bakal dijual atau disediakan kepada pengunjung sekitar Masjidil Haram sepanjang Ramadan.
Iklan
Iklan
"Ini penting bagi memelihara kesihatan awam dan sebagai barisan pertahanan pertama untuk mencegah sebarang penyakit dan risiko kesihatan yang berkaitan dengan keselamatan makanan," menurut perbandaran itu seperti dipetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Selain mempercepat prosedur pemeriksaan sampel makanan, makmal bergerak itu bertujuan menangani kes keracunan makanan dengan pantas.
"Hasil ujian mengambil masa satu hingga 18 jam dan setiap makmal boleh menganalisis kira-kira 500 sampel setiap hari," menurut perbandaran itu.
Makmal bergerak juga akan menjadi pemacu utama dalam mengukuhkan sistem keselamatan makanan di Kota Suci, semasa musim haji dan umrah. - Bernama/SPA
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28