BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali mengakui faktor kecergasan pemain akan menjadi perkara utama yang menjadi tumpuan ketika persiapan pasukan negara menghadapi Oman, pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat bulan ini.
Menurut Safee, beliau bimbang dengan tahap kesediaan pemain memandangkan mereka semua tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif selepas liga berehat sehingga Mei.
Aksi kompetitif terakhir buat pemain negara adalah pada kejohanan Piala Asia yang berlangsung di Qatar pada Januari lalu.
"Saya risau dari segi tahap kecergasan kerana mereka baru sahaja pulang kembali ke latihan selepas 'off season'.
"Semua pemain dan negara menghadapi masalah yang sama. Semua dalam fasa utnuk membina kembali stamina dan membina keseserasian. saya harap pasukan kita bersedia," katanya.
Pasukan negara dalam misi untuk meraih mata penting agar dapat mengesahkan kemaraan lebih awal ke pusingan seterusnya Kelayakan Piala Dunia menerusi dua perlawanan menentang Oman di Muscat pada 21 Mac dan di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari selepas itu.
Ketika ini skuad kendalian Kim Pan-gon itu berada pada kedudukan teratas Kumpulan D dengan enam mata hasil kemenangan dalam dua perlawanan awal menentang Kyrgyzstan dan Taiwan tahun lalu.
Dalam masa sama, kebimbangan turut menyelebungi pasukan negara kerana dikatakan bahawa tiada aksi persahabatan akan dilalui sebelum perlawanan bertemu Oman itu.
"Ada pro dan kontra kalau persahabatan pun mendatangkan kecederaan kepada pemain utama, ia akan menjejasakan persiapan kita.
"Jadi, Pan-gon pun dah tahu melihat persiapan dan keadaan pemain, mungkin dari situ ada boleh menilai persahabatan.
"Perlawanan persahabatan ini tak perlu dengan negara besar. Persahabatan dengan pasukan kelab pun boleh dibuat sekadar untuk menguji kemampuan pasukan kita," katanya.