KABUL - Di samping al-Quran antik dan syiling purba Afghanistan, pelancar roket dan bom buatan sendiri turut dipamerkan di Muzium Mazar-i-Sharif sebagai bukti kemenangan Taliban terhadap tentera asing.
"Ia tidak mempunyai sejarah lama, tetapi semuanya memainkan peranan penting dalam kemenangan itu.
"Ini memberi makna yang luar biasa untuk rakyat,” kata Pengarah Muzium, Abdul Qayum Ansari.
Di dalam muzium terletak di wilayah Balkh di utara bandar Mazar-i-Sharif yang terkenal dengan Masjid Biru, dua peti kaca berkembar digunakan untuk mempamerkan peralatan semasa pemberontakan dua dekad Taliban yang berakhir pada tahun 2021.
Abdul Qayum menegaskan, pengunjung dilarang mengambil gambar atau merakam alat-alatan dipamerkan itu dan menyatakan AFP adalah kumpulan wartawan pertama dibenarkan mengunjungi muzium itu.
Antara peralatan menarik perhatian termasuk sebuah tong bahan letupan berwarna kuning yang diletakkan bersama sebuah motosikal Honda dalam kotak kaca dan dihiasi dengan pelancar roket.
"Sebenarnya motosikal itu adalah untuk mengangkut Mujahidin semasa perang dan pertempuran manakala senjata itu digunakan untuk melawan kereta kebal,” jelas seorang kurator muzium.
Ketika ini, hanya golongan lelaki dibenarkan memasuki melihat artifak dalam muzium tersebut. Larangan itu dikuatkuasakan selepas Taliban kembali berkuasa di Afghanistan.
Menurut pengarah itu lagi, bahagian kecil muzium telah diletakkan pelbagai objek perang yang kini menjadi tarikan pengunjung paling ramai
Tambahnya, pihak berkuasa Taliban mahu menjadikan ‘muzium ini luar biasa’, selain bakal menyediakan banyak lagi bilik untuk diisi dengan senjata perang supaya ramai pengunjung dapat datang ke sini.
Namun sebenarnya barang antik dari era sebelumnya kurang dipamerkan dalam muzium itu walaupun Mazar-i-Sharif adalah persimpangan bersejarah dengan Asia Tengah.
Sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021, kumpulan Taliban telah meraikan penarikan tentera AS dan kekalahan kerajaan yang disokong negara asing dari bumi Afghanistan dengan melakukan perarakan tentera dan bacaan puisi.
Pada masa sama, Taliban menginginkan hubungan diplomatik asing selain pengiktirafan rasmi kerajaannya oleh negara luar.
Namun, tidak jelas mengapa pihak berkuasa enggan menghebahkan pameran kecil itu, tetapi Abdul Qayum berpendapat ia patut dilihat secara meluas oleh sesiapa pun.
"Dari sudut pandangan peribadi saya, gambar harus diambil supaya seluruh dunia dan rakyat kita dapat melihatnya.
"Saya secara peribadi mencadangkan kita patut mempunyai muzium khas untuk mempamerkan mengenai barangan penaklukan dan kemenangan,” katanya. - AFP