Sekat segera ajaran The Ahmadi

Iklan
Kecoh di media sosial dengan kedatangan ajaran agama baharu iaitu The Ahmadi.

SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menutup atau menyekat akaun individu yang menyebarkan ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace di media sosial.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengekang ajaran The Ahmadi terus tersebar terutamanya kepada golongan muda.

Iklan
Iklan

Katanya, seperti sedia maklum apabila melibatkan media sosial, ia menjadi satu perkara terbuka dan mudah tersebar.

Ahmad Fahmi

"Bila media sosial orang akan kongsi link. Saya fikir mereka sasarkan anak-anak muda kerana golongan itu ramai yang menggunakan media sosial.

Iklan

"Jadi ada kewajaran untuk pihak berkuasa terutamanya di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk Majlis Agama Islam di seluruh negeri untuk bekerjasama bagi melaporkan perkara ini sekali gus tindakan susulan yang mungkin boleh diambil oleh SKMM,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan ajaran The Ahmadi bertentangan dengan syariat Islam.

Iklan

Mohd Na’im berkata, pihaknya akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh.

Sebelum ini tular mengenai akaun TikTok dipercayai milik Bishop atau ketua ajaran The Ahmadi yang mendapat sambutan ketika bersiaran langsung.

Akaun tersebut mempunyai lebih 30,000 pengikut.

Mengulas lanjut, tambah Ahmad Fahmi, selain daripada elemen menyekat sebarang penyiaran secara langsung, perlu juga ada pihak tertentu seperti majlis agama dan ulama memberi hujah balas.

"Apa yang dikemukakan oleh kumpulan ini perlu diberi penjelasan supaya menjawab apa yang dibangkitkan dan diajarkan oleh mereka,” ujarnya.

Badlishah

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya menentang penyebaran ajaran sesat seperti ajaran The Ahmadi di media sosial.

Jelasnya, malah Ikram juga sudah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

"Kami menuntut agar pihak berkuasa seperti polis dan SKMM untuk menyiasat dan mengambil tindakan sesuai seperti menutup atau menyekat akaun mereka yang menyebar ajaran sesat di media sosial.

"Kita juga mahu Majlis Agama Islam di setiap negeri sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan sebarang ajaran sesat tidak disebarkan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.