PENYANDANG juara, Pasukan Hoki Terengganu (THT) bertekad tampil aksi terbaik apabila berdepan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Malah, menurut pengendali THT, Mohd Harfizi Baharom, pemain-pemain pasukan dari pantai timur yang tampil tanpa import berazam menafikan penamat treble skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu.
"Insya-ALLAH, THT akan 'all out' berjuang sehingga wisel penamat berdepan pasukan TNB walaupun kita tahu lawan kita adalah pasukan yang sangat konsisten sepanjang saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.
"Pasukan THT pun sentiasa berusaha meningkatkan permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan musim ini, dan sekali lagi kami berdepan pasukan pilihan TNB.
"Saya harap pemain-pemain elak melakukan kesilapan mudah, mengekalkan semangat juang berpasukan sepanjang permainan dan memanfaatkan semua peluang serta tenang menghadapi pelbagai situasi kritikal di padang," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
TNB sebelum ini merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih dan Piala MHL 2024 dalam pemburuan Piala TNB untuk melengkapkan status treble.
Sebagai rekod, anak buah Mohd Harfizi mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Maybank dengan agregat 6-1 manakala angkatan Nor Saiful Zaini menang agregat, 8-2 ke atas UiTM HA-KPT.
Ini merupakan perlawanan akhir ketiga berturut-turut menemukan kedua-dua gergasi hoki tanah air itu dalam saingan Piala TNB.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28