KUALA PERLIS - Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) melancarkan Gerobok Rezeki untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan di kampus ini.
Ia turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) di bawah Pejabat Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Alumni dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) intitusi pengajian tinggi tersebut.
Rektornya, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh JHEPA bersama MPP ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar.
Katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud ‘Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makanan, sambunglah silatulrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat,’ (HR. al-Tirmidhi dan Ibn Majah).
"Etika dalam pemakanan merupakan suatu perkara yang amat dititikberatkan dan perlu diperhatikan ialah etika sebelum, semasa, dan selepas makan dan minum.
"Seseorang Muslim perlulah mengetahui adab dan etika ketika makan dan minum mengikut panduan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW bagi membentuk keperibadian Muslim yang sejati," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
"Mereka yang ingin membuat sumbangan boleh menghubungi Muhd Iqmal Adi Zuraini, Penolong Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) di talian 012-7288774 atau melalui e-mel iqmal@kuips.edu.my untuk keterangan lanjut," ujarnya.
Jelasnya, sehingga kini barangan terdapat dalam Gerobok Rezeki ini ialah minuman, biskut kering, kurma dan lain-lain sumbangan dari Dana Tabung Kafalah.
Sementara itu Exco Kebajikan MPP, Muhamad Ikmal Din berkata, dengan Gerobok Rezeki yang dilancarkan oleh Rektor ini diharap dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan dan tidak cukup makanan serta meringankan beban rakan-rakan pelajar yang lain.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28