KUALA LUMPUR - Afrika Selatan sedang meneliti laporan yang dihantar Israel kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada bulan lalu mengenai langkah bagi mencegah genosid di Gaza sebelum memutuskan langkah seterusnya, kata Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, David E Malcomson.
Menurutnya, Israel menyerahkan laporan itu baru-baru ini dalam tempoh yang diputuskan ICJ pada 26 Januari lalu.
"Setakat ini laporan itu sulit dan diserahkan dalam tempoh sebulan seperti diarahkan ICJ.
"Pihak berkuasa di Afrika Selatan sedang mengkaji laporan itu untuk melihat apakah respons yang bakal dibuat oleh Afrika Selatan,” kata Malcomson, sambil menambah Afrika Selatan sudah pun mengemukakan satu lagi petisyen kepada ICJ menggesa mahkamah itu memaksa Israel menghentikan serangan ke atas Gaza atau rakyat Palestin akan kebuluran.
Petisyen kedua oleh Afrika Selatan kepada ICJ itu dibuat pada 6 Mac, beberapa hari sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadan.
Afrika Selatan mahu Israel menghentikan semua operasi ketenteraan ke atas Palestin, bukan sahaja pada Ramadan tetapi menamatkannya sepenuhnya, kata Malcomson.
Pada 26 Feb, akhbar The Times of Israel melaporkan rejim itu menyerahkan laporan kepada ICJ memperincikan langkah yang sedang dan akan diambil bagi mematuhi perintah mahkamah pada Januari yang menggesa ia tidak mengambil langkah yang boleh mencabuli Konvensyen Genosid di Gaza.
Menteri Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan Naledi Pandor pada 5 Mac memberitahu Parlimen bahawa kerajaan sedang mengkaji laporan Israel kepada ICJ mengenai bagaimana rejim itu mematuhi arahan meminimumkan mudarat terhadap penduduk Palestin seperti yang diarahkan mahkamah dunia.
Afrika Selatan mempunyai hak untuk menjawab kandungan laporan itu, katanya seperti yang dipetik media negara itu, Eyewitness News.
Pada Disember lalu, Afrika Selatan memulakan kes terhadap Israel di ICJ berkaitan langkah mengaplikasi Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948.
Pada 26 Januari, ICJ dalam keputusannya mengarahkan enam langkah sementara termasuk menghalang berlakunya genosid di Gaza, memastikan Israel serta merta tidak melakukan sebarang tindakan genosid selain menghalang serta menghukum sebarang hasutan langsung atau terbuka terhadap perlakuan genosid.
Tiga lagi langkah lain, termasuk peruntukan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kemanusiaan bagi menangani keadaan kehidupan yang buruk di Gaza, menghalang pemusnahan serta mengekalkan bukti berkaitan tuduhan genosid, selain menyerahkan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil berkaitan pematuhan arahan berkenaan dalam tempoh sebulan.
Mengulas penghakiman ICJ pada Januari, Malcomson berkata meskipun mahkamah tidak menyebut perkataan gencatan senjata, enam langkah yang dikemukakan jika dilaksanakan sepenuhnya akan membayangkan maksud gencatan senjata.
Sehubungan itu, Afrika Selatan akan terus mengenakan tekanan ke atas Israel supaya melaksanakan enam langkah itu menerusi semua saluran diplomatik, baik menerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perhimpunan Agung PBB dan perbincangan bilateral.
Ditanya mengenai hubungan kukuh antara Afrika Selatan dengan Palestin, beliau berkata hubungan bermula ketika tahun 1960-an sewaktu era perjuangan pembebasan Afrika Selatan.
"Ketika kami (Afrika Selatan) berjuang menentang apartheid, Kongres Kebangsaan Afrika Selatan (ANC) menjalin hubungan dengan pertubuhan pembebasan lain termasuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
"Wujud hubungan sejak sekian lama antara ANC dan PLO serta hubungan akrab peribadi antara mendiang Presiden Nelson Mandela dengan bekas Pengerusi PLO, Yasser Arafat,” katanya.
"Mandela menganggap Palestin sebagai isu moral terbesar dan selepas rejim apartheid digulingkan, Mandela berkata:"Kita sebagai rakyat Afrika Selatan tidak boleh menganggap diri kita sudah bebas selagi penduduk Palestin juga tidak merdeka.”
Menurut Malcomson, berpandukan sejarah pengalaman membebaskan diri daripada apartheid sehingga mencetuskan sebuah Afrika Selatan baharu - yang hadir pada 1994 - adalah mengetengahkan isu hak asasi manusia sebagai satu daripada aspek utama dalam dasar luar negara itu.
Satu daripada isu utama hak asasi manusia ialah Palestin.
"Afrika Selatan tidak pernah menganggap Palestin sebagai isu agama tetapi ia adalah isu kemanusiaan bagi Afrika Selatan dan ia soal keadilan. Pengalaman daripada sejarah membuatkan kami terbabit dalam isu Palestin hari ini dan dunia tidak harus lupa apa yang berlaku di Tebing Barat juga,” katanya.
Hampir 31,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 70,000 lagi cedera akibat serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober lepas.
Rejim itu turut mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza menyaksikan penduduk di kawasan itu terutama di Gaza utara diancam kebuluran selain daripada kemusnahan besar-besaran serta kekurangan barangan keperluan.
Menurut PBB, perang Israel ini menyaksikan 85 peratus penduduk Gaza menjadi pelarian di bumi sendiri dan berdepan kekurangan makanan, bekalan air bersih dan perubatan manakala 60 peratus kediaman musnah atau rosak. - Bernama