KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan kini menghadapi masalah 'trust deficit' atau defisit kepercayaan rakyat yang kronik kerana itu wujud cubaan mengawal naratif di media sosial.
Menurutnya, kerajaan menolak untuk menerima kritikan rakyat kerana akan melemahkan dan menjadikan mereka tidak popular.
"Kenapa harus disekat? Bukankah dahulu merekalah yang paling lantang memperjuangkan kebebasan media? Kononnya mereka memperjuangkan demokrasi dan hak asasi.
"Kenapa bila jadi kerajaan, mereka dengan rakusnya menggunakan kuasa untuk menyekat kebebasan? Ternyata, mereka semua hipokrit," katanya ketika berucap pada Majlis Konvensyen Wakil Rakyat PN di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan hantarannya mengenai kejatuhan nilai ringgit di TikTok telah disekat sebanyak dua kali.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah menyekat hak untuk rakyat bersuara di media sosial sepanjang menjadi Perdana Menteri.
"Itu prinsip kita dalam mentadbir negara. Negara kita ada undang-undang dan kuasa kerajaan dihadkan oleh undang-undang.
"Kerajaan tak boleh bertindak sesuka hati menyekat hak kebebasan rakyat yang sah, melainkan mereka melakukan kesalahan di sisi undang-undang," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa Kerajaan Madani gagal menunaikan janji dalam mengawal kenaikan harga barang.
"Sudahlah berbohong, mungkir janji pula. Janji reformasi, janji turun harga minyak, janji turun harga barang, janji selesai masalah kos sara hidup rakyat. Semuanya tinggal janji.
"Reformasi entah ke mana perginya. Harga barang bukan semakin turun, tetapi semakin naik. Kos sara hidup rakyat semakin naik. Cukai pun naik," tambah Muhyiddin.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28