BESUT - Seekor beruang matahari betina yang dikesan merosakkan tanaman kelapa di Kampung Padang Tapong, Besut, di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada Jumaat.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, haiwan tersebut memasuki perangkap yang dipasang anggota Perhilitan selepas menerima aduan berhubung serangan hidupan liar itu pada 28 Februari lalu.
Iklan
Iklan
"Sebelum ini anggota kita telah menerima aduan mengenai kerosakan kebun akibat diserang haiwan liar dan segera memasang perangkap di kawasan kebun kelapa itu lebih seminggu lalu.
"Selepas lebih seminggu dipasang, seekor beruang seberat kira-kira 60 kilogram (kg) ditemui memasuki perangkap tersebut. Haiwan itu dalam keadaan sihat dan telah dilepaskan kembali ke habitat semula jadi yang lebih selamat," katanya.
Selain itu, katanya, pemilik kebun dinasihatkan untuk sentiasa memastikan keadaan persekitaran kebun bersih daripada semak samun supaya tidak mengundang kehadiran haiwan liar.
"Kita juga ingin menekankan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan video hidupan liar di media sosial kerana dikhuatiri akan menjadi tumpuan pemburu haram atau pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28