PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengharapkan penyokong tidak meletakkan harapan terlalu tinggi menjelang dua perlawanan Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang pasukan ranking ke-80 dunia, Oman bulan ini.
Menurut Pan-gon, semua pihak perlu sedar kekangan yang dihadapi ketika ini memandangkan saingan liga yang belum bermula menjejaskan persiapan dari segi kecergasan skuad Harimau Malaya.
Beliau juga tidak rela 'dihentam' selain desakan meletakkan jawatan ketika tewas dua perlawanan peringkat kumpulan di Piala Asia baru-baru ini berulang sekiranya gagal menampilkan keputusan positif ke atas Oman itu.
"Sebagai contoh, dua perlawanan Piala Asia, kita tidak bagus terutama pada perlawanan pertama (menentang Jordan). Apa yang berlaku selepas perlawanan pertama itu apabila ada yang mahu saya meletakkan jawatan.
"Itu bagi saya amat mengecewakan dan melukakan hati saya. Sekarang ini (saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027) kita menang dua perlawanan, tetapi anda perlu lihat situasi.
"Tiada liga, tiada pramusim. Keadaan ini mungkin tidak akan dapat memberikan keputusan yang dimahukan (menentang Oman), jadi adakah anda mahu menyerang saya lagi?" katanya.
Skuad negara akan berdepan Oman dua kali bulan ini pada 21 Mac di Muscat sebelum menerima kunjungan lawan di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.
Untuk rekod, Harimau Malaya kini berada di kedudukan teratas Kumpulan D hasil kemenangan ke atas ke atas Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) November lalu.
Bagaimanapun, sebalik kekangan yang dihadapi skuad negara itu, Pan-gon tetap percaya pemain Harimau Malaya akan tetap memberikan yang terbaik dan mengharapkan sokongan penuh daripada penyokong negara.
"Kami mahu memberikan anda satu lagi sejarah dan kegembiraan untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia. Namun, saya mengharapkan semua memahami keadaan.
"Kami akan beri yang terbaik. Kami tidak tahu mungkin tidak akan dapat beri keputusan yang baik, tetapi kami akan menunjukkan tahap permainan berkualiti," katanya.