PN adalah parti masa depan untuk Malaysia - Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin Yassin. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya parti itu adalah masa depan untuk Malaysia.

Menurutnya, dasar yang mereka bawa adalah sesuai dengan jati diri dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan masyarakat Bumiputera sebagai penduduk majoriti.

Iklan
Iklan

Bahkan, katanya, sebahagian besar daripada wakil rakyat PN juga berpengalaman dalam mentadbir negara.

"Saya percaya apabila PN diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan, tumpuan utama kita ialah bagaimana untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Data-data menunjukkan bahawa daya saing negara kita semakin lemah. Ini pastinya akan menjejaskan potensi kemasukan pelaburan asing dan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Masa depan negara kita bergantung kepada sejauh mana Malaysia boleh meningkatkan daya saing, menjana pertumbuhan ekonomi yang rancak dan mencipta kekayaan untuk dikongsi secara bersama dengan adil dan saksama oleh seluruh rakyat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, dasar mengenai Bumiputera tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik tanpa pertumbuhan ekonomi yang pesat.

"Dasar untuk membantu rakyat yang memerlukan, terutamanya golongan B40, ibu tunggal dan miskin tegar juga tidak boleh dilaksanakan dengan berkesan jika hasil negara tidak meningkat.

"Tidak ada apa yang boleh diagih kepada rakyat jika kek ekonomi tidak membesar.

"Sebaliknya, banyak bantuan untuk rakyat terpaksa dipotong atau dihapuskan kerana kerajaan tidak mempunyai hasil yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan negara,” ujarnya.

Tegasnya, itulah keadaan yang berlaku di Malaysia pada hari ini akibat kegagalan kerajaan mengurus ekonomi dengan baik.

"Sehingga kini pun mereka gagal membentangkan suatu perancangan yang komprehensif untuk meningkatkan daya saing negara dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

"Yang mereka buat ialah naikkan cukai dan potong subsidi yang semakin menyusahkan rakyat. Ini tentu sekali tidak baik untuk masa depan negara,” katanya. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28