Manfaatkan caruman serendah RM23.30 setahun - PERKESO

Iklan
Farihah (dua dari kanan) merakam gambar bersama sebahagian peserta program khidmat komuniti bersama agensi di Masjid Al-Muttaqin, Kepong, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu menyasarkan lebih ramai golongan bekerja sendiri memanfaatkan peluang disediakan kerajaan yang membiayai caruman sebanyak 90 peratus iaitu RM209.50 setahun menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, mana-mana individu yang termasuk dalam kumpulan Orang Bekerja Sendiri (OBS) kini hanya perlu membayar baki 10 peratus daripada caruman iaitu RM23.30 bagi mendapatkan manfaat perlindungan selama setahun.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan berlaku peningkatan jumlah OBS yang mencarum selepas kerajaan memperkenalkan kadar bayaran baharu yang berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu.

"Pada tahun ini kita menyasarkan seramai 20,000 iaitu peningkatan lebih 50 peratus OBS di Terengganu yang mendaftar untuk membuat caruman.

Iklan
Farihah (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengunjung terawal mendaftar caruman pada program khidmat komuniti bersama agensi di Masjid Al-Muttaqin.

"Jumlah itu dijangka lebih tinggi berbanding seramai 12,914 pada 2023 dan 11,842 pada tahun sebelumnya iaitu pada 2022," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada program khidmat komuniti masjid bersama agensi kerajaan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Razaki Daud.

Iklan

Menurut Farihah, sebanyak 11 kategori kumpulan sasaran dibawah insentif tersebut terdiri daripada SPS Agro, SPS Asal, SPS Didik, SPS Gig, SPS Jaja, SPS Joran, SPS Hilang Upaya, SPS Seni, SPS Servis, SPS Sukan dan SPS Usahawan.

"Kita dapati jumlah mereka yang mencarum daripada kumpulan ini masih rendah dan ia membimbangkan sekiranya berlaku musibah yang tidak diduga dimana mereka akan terlepas faedah-faedah yang disediakan.

"Jadi kita harap pekerja yang berada dibawah sektor tidak formal ini dapat mengambil peluang untuk dapatkan perlindungan selama 12 bulan hanya dengan membuat caruman sebanyak 10 peratus, selebihnya dibiayai kerajaan," katanya.

Pada program tersebut, beberapa gerai dibuka antaranya bagi pendaftaran SKSPS, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, Kaunter Myfuturejobs dan kaunter perkhidmatan lain melibatkan majikan, pekerjaan atau sebarang aduan.

Program berlangsung bermula jam 8.30 pagi itu turut mendapat kerjasama dari agensi lain seperti Tabung Haji dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).