Pembinaan 287 menara telekomunikasi di Johor bantu capaian internet 100 peratus

Iklan
Teo Nie Ching (tiga dari kanan) ketika melawat kawasan tapak infrastruktur menara telekomunikasi Jendela di Kampung Krishna, Jementah hari ini. - Foto: Bernama

SEGAMAT - Pembinaan 287 menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Johor akan membantu capaian Internet selular sebanyak 100 peratus di negeri ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 182 menara telah siap dibina setakat suku keempat 2023.

Iklan
Iklan

"Baki selebihnya masih dalam fasa pembinaan dan dijangka siap serta mula beroperasi sepenuhnya pada 2025. Seperti hari ini, kita adakan tinjauan di Menara telekomunikasi di Kampung Krishna, Jementah yang mula dibina pada suku kedua 2023 dan telah siap dibina oleh pihak Celcom Berhad pada awal 2024.

"Menara ini boleh digunakan bermula 28 Februari lepas bagi pengguna CelcomDigi, manakala pengguna Maxis pada 7 Mac dan U-Mobile semalam, jadi dengan siapnya menara telekomunikasi berkenaan dianggarkan sebanyak 100 penduduk di Kampung Krishna dan kawasan sekitarnya seperti Kampung Paya Jakas dan Pekan Jementah berpeluang menikmati perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Jementah, Segamat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Ng Kor Sium dan Pengarah MCMC Johor, Mohamad Rizal Ahmad.

Iklan

Dalam pada itu, Nie Ching berkata sebanyak 4,701 menara telah dinaik taraf kepada 4G/LTE manakala 16 menara masih dalam proses naik taraf dan dijangka siap serta beroperasi pada 2025.

"Setakat ini, liputan 4G/LTE secara keseluruhan di negeri Johor ialah 99.16 peratus, manakala bagi kawasan Parlimen Segamat, setakat tempoh sama capaian liputan Internet selular bagi kawasan berpenduduk sebanyak 97.84 peratus.

"Di seluruh Johor memang ada tempat yang masih ada isu liputan Internet. Sebagai contoh, kawasan Sengkang Lengga dan Kampung Gelang Cincin di Kulai pun masih ada menara yang kita baru hendak bangunkan.

" ... kebanyakan memang di kawasan pedalaman, Felda atau kampung, bagaimanapun lokasi berkenaan akan dibantu melalui projek Jendela yang dibayar MCMC," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28