Enam rumah atas air terbakar, dua cedera termasuk melecur

Iklan
Enam rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Saga 1 Manggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Dua lelaki masing-masing berusia 40-an melecur dan cedera dalam kebakaran melibatkan enam rumah atas air di Kampung Saga 1 Manggatal, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, seorang melecur di bahagian muka manakala seorang lagi cedera di bahagian tangan.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai 20 anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan enam rumah jenis tidak kekal iaitu berada di atas air.

Iklan

"Tiada laluan masuk jentera ke lokasi dan pasukan bomba terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk ke lokasi kejadian.

"Operasi memadamkan kebakaran kemudian segera dilakukan dengan menggunakan sumber air terbuka iaitu paip di kawasan berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah Ordine lagi, pasukan bomba berjaya menyelamatkan tiga lagi rumah berhampiran daripada turut terbakar.

"Api berjaya dikawal pada jam 11.15 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan, terdapat dua mangsa dilaporkan, seorang dihantar ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi dirawat di lokasi kejadian," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28