Yadim gerak ejen dakwah beri pencerahan ajaran Ahmadi

Iklan
Tular di media sosial mengenai akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang mempunyai lebih 30,000 pengikut.

SHAH ALAM - Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran 'The Ahmadi, Religion of Light and Peace'.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin berkata, segala bentuk penyelewengan akidah seperti ajaran tersebut tidak akan berkekalan lama memandangkan sandaran pihak berkenaan hanya mengikut pada hawa nafsu semata-mata.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, ia bukanlah kali pertama gerakan sebegitu wujud di negara ini mahupun di dunia secara umumnya.

"Yadim setuju dan menyokong saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi agama yang lain untuk segera mengekang ajaran dan membendung ajaran itu.

Iklan

"Yadim melalui Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) akan menggerakkan sepenuh usaha melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tular di media sosial mengenai akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang mempunyai lebih 30,000 pengikut dan mendapat sambutan apabila pemilik akaun itu bersiaran langsung.

Iklan

Pada Khamis, Mohd Na’im menjelaskan ajaran The Ahmadi bertentangan dengan syariat Islam dan pihaknya akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh.

Mengulas lanjut, Adi Anuar berkata, Yadim juga akan menganjurkan program pendidikan dan pemahaman akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar kepada masyarakat bagi memastikan kepercayaan umat Islam dalam negara ini tidak tergugat.

"MAIM adalah sebuah platform yang menggabungkan barisan NGO-NGO Islam di Malaysia mampu membantu kerajaan dan agensi sedia ada dalam usaha menangkis fahaman ini terus menular dalam masyarakat Malaysia.

"Yadim berharap langkah pintar daripada pihak SKMM dan PDRM untuk memastikan penularan apa-apa bentuk bahan berkaitan fahaman Ahmadi ini dapat ditangani dan dibendung dengan lebih awal,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28