Peruntukan tambahan RM1 juta untuk Hospital Seberang Jaya

Iklan
Anwar mengadakan lawatan ke Hospital Seberang Jaya bagi meninjau perkembangan projek yang sedang dijalankan.

PERMATANG PAUH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta untuk Hospital Seberang Jaya di sini, bagi membeli kelengkapan serta perkakasan perubatan diperlukan.

Menurutnya, antara keperluan mendesak yang di hospital terbabit termasuk mesin ventilator, tangki air dan mesin ultra bunyi.

Iklan
Iklan

Selain itu, jelasnya peruntukan tambahan yang diberikan itu juga akan digunakan untuk membina bilik penyusuan ibu.

"Saya telah diberikan taklimat oleh Pengarah Hospital Seberang Jaya sebentar tadi mengenai perkembangan semasa dan keperluan mendesak di hospital ini.

Iklan

"Saya luluskan beberapa permintaan yang segera berjumlah RM1 juta untuk membolehkan hospital ini mendapatkan perkakasan yang diperlukan manakala yang lain (projek blok tambahan) perlu ikut proses yang telah ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Hospital Seberang Jaya pada Sabtu.

Anwar yang tiba kira-kira jam 1.15 tengah hari itu disambut Pengarah HSJ, Dr Saiful Azlan Sharif dan kakitangan HSJ.

Iklan

Difahamkan, kerja-kerja pembinaan blok baharu Hospital Seberang Jaya bermula pada 2016 dan sehingga kini belum disiapkan.

Anwar sempat bertanya khabar seorang pesakit ketika lawatannya di Hospital Seberang Jaya, pada Sabtu.

Dilaporkan sebelum ini bahawa projek Hospital Seberang Jaya bernilai RM368 juta mengalami kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan untuk mengekang Covid-19 serta berdepan beberapa masalah lain.

Bangunan baharu hospital yang dijangka siap hujung tahun ini bakal memuatkan sebanyak enam dewan bedah, 316 katil serta kemudahan-kemudahan hospital yang canggih dan terkini.

"Projek bangunan tambahan yang terlambat ini mudah-mudahan akan siap sebelum akhir tahun ini.

"Projek itu kosnya dah sampai RM500 juta, atau lebih kurang RM490 juta sekarang.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada staff di sini kerana dalam kesesakan yang berlaku mereka tetap bekerja untuk meringankan beban pesakit," katanya.

Sementara itu, Dr Saiful berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan buat peruntukan tambahan oleh Perdana Menteri.

"Pihak HSJ menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mendengar permintaan dan keperluan kami.

"Harapan kami agar peruntukan ini dapat mengurangkan beban dan memberi kemudahan yang lebih selesa kepada kakitangan dan pesakit di hospital ini," katanya.