KUALA LUMPUR - Tahap kepercayaan antara masyarakat dengan polis terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) perlu dipertingkatkan bagi memastikan siasatan dijalankan berjalan lancar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kerahsiaan individu yang membuat laporan perlu menjadi keutamaan.
Beliau berkata, pihaknya sedar ada aduan berkaitan kebocoran pengadu yang membuat laporan dan perkara berkenaan sedang dalam perhatian pihaknya.
"Saya bersama timbalan dan keseluruhan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) termasuk peringkat daerah akan memastikan sensitiviti berkaitan perkara ini diambil tindakan sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan masyarakat berhubung wujudnya kebocoran identiti pengadu ketika sesi Libat Urus Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail di sini pada Sabtu.
Sementara itu, dalam sidang akhbar yang diadakan selepas sesi berkenaan, beliau berkata pihaknya akan meluaskan penganjuran sesi libat urus antara masyarakat di negeri lain bagi mengenal pasti isu berkaitan jenayah setempat.
Jelas beliau, pihaknya ingin melihat secara mendalam isu-isu jenayah yang berbangkit dan akan diteruskan ke beberapa negeri lagi selepas ini.
"Sesi libat urus kali ini adalah kedua yang mana sebelum ini dikenali sebagai 'Town Hall', kita ubah sedikit konsep untuk kenal pasti secara mendalam berkaitan isu jenayah yang membelenggu masyarakat.
"Sesi libat urus ini bukan sahaja melibatkan saya sebaliknya semua pegawai kanan di jabatan ini, dan ia memudahkan untuk masyarakat mengajukan tentang pelbagai isu berkaitan jenayah berbangkit," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28