KOTA KINABALU - Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor membidas dakwaan Parti Warisan (Warisan) yang mengatakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal memerintah Sabah.
Sebaliknya, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mendakwa, Warisan yang gagal memerintah negeri ini selama dua tahun setengah.
Katanya lagi, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya pandai menyebar cerita yang bukan-bukan selain menabur fitnah tanpa menilai apa yang sudah dilakukan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus kini.
"Banyak perubahan yang kita laksanakan. Saya ingin menyatakan bahawa kita (GRS) berjaya sebagai sebuah kerajaan kerana kita banyak buat program untuk rakyat dan pembangunannya.
"Yang gagal adalah Warisan, Shafie Apdal, dia cakap kerajaan gagal. Kita mahu tanya Shafie apa Warisan buat dua tahun setengah memerintah Sabah sebelum ini? Tapi, berucap sana sini, beliau cakap bahawa kerajaan ini gagal, gagal apa? Yang gagal ialah Shafie dan Warisan. Saya tidak nampak apa dia buat dua tahun setengah di Sabah.
"Kerana itulah Warisan dan Shafie ditolak rakyat, kita tidak boleh kelentong atau cakap kosong. Cakap kerajaan GRS gagal, apa gagalnya? Yang gagal ialah Shafie dan Warisan," katanya ketika merasmikan Mini Karnival Gagasan Rakyat 2024 di Alamesra, di sini pada Sabtu.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut mendakwa, perbuatan menabur fitnah adalah tabiat pemimpin Warisan terutama Mohd Shafie.
"Saya bercakap ini kerana saya nampak, kalau tidak gagal tentu mereka terus menjadi kerajaan tapi mereka tidak jadi kerajaan. Dulupun menjadi Ketua Menteri dan kerajaan bukan kerana mendapat mandat rakyat.
"Dia bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) pun tidak mendapat mandat rakyat, jadi apa yang Shafie jaja di Sabah selama ini dan bercakap macam-macam, itu semua bohong," katanya.
Hajiji dalam pada itu mengakui, beliau tidak pandai bercakap seperti Mohd Shafie selain tidak suka terlalu berpolitik.
"Kita mesti bercakap benar kepada rakyat, saya percaya rakyat Sabah pandai menilai, kita tidak sanggup pemimpin begini memerintah Sabah sekali lagi.
"Dia (Shafie) bilang kalau pegang kerajaan mahu buat itu ini, ubah perlembagaan. Ini tidak tahu cerita macam dia saja yang pandai, orang lain tidak pandai. Dia hanya pandai merendahkan orang lain dan bercakap di mana-mana, termasuk pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina.
"Saya nampak di media sosial menuduh kerajaan GRS gagal, tapi saya yakin rakyat kita tahu keadaan dan mereka pandai menilai. Yang cakap ini pemimpin Warisan, memang begitu dari dulu putar belit," katanya.