ISTANBUL - Turkiye bersedia menjadi pengantara dan tuan rumah bagi sidang kemuncak damai antara Rusia dan Ukraine.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengesahkan perkara itu selepas berbincang dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky di Istanbul pada Jumaat.
"Kami bersedia untuk menjadi pengantara dan tuan rumah sidang kemuncak damai yang mana Rusia turut hadir.
"Kami akan meneruskan tugas untuk menamatkan perang dengan keamanan yang adil berdasarkan rundingan," kata Erdogan dalam sidang akhbar.
Terdahulu, Zelensky menolak idea untuk berunding secara langsung dengan Rusia atas alasan pemimpin Ukraine dan Barat mesti menetapkan keamanan mengikut syarat mereka sendiri.
"Kami tidak nampak bagaimana kami boleh menjemput orang yang menyekat, memusnahkan dan membunuh segala-galanya. Kami mahu mendapatkan keputusan," tegas Zelensky.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan rundingan dengan Erdogan sebagai produktif dan berterima kasih kepada Turkiye atas usahanya sebagai pengantara bagi menyelesaikan isu eksport bijirin Ukraine melalui Laut Hitam dan pertukaran tahanan.
Ankara berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan Moscow dan Kyiv, membantu kedua-duanya menandatangani perjanjian yang kini sudah tamat, untuk memastikan laluan selamat bijirin di Laut Hitam pada Julai 2022.
Pertemuan Erdogan-Zelensky itu diadakan seminggu selepas pertemuan dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dengan rakan sejawatnya dari Turkiye, Hakan Fidan di sebuah forum diplomatik di Antalya. - AFP