Bekalan ayam, daging cukup menjelang sambutan Aidilfitri - Mat Sabu

Iklan
KPKM beri jaminan bahawa bekalan barangan asas seperti ayam dan daging mencukupi menjelang Ramadan serta sambutan Aidilfitri. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama kementerian dan agensi berkaitan memberi jaminan bahawa bekalan barangan asas seperti ayam dan daging mencukupi menjelang Ramadan serta sambutan Aidilfitri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan ayam dan telur pada masa ini adalah stabil, namun berharap penternak melipatgandakan usaha meningkatkan keperluan.

Iklan
Iklan

"Sekiranya bekalan terjejas, kita boleh import kerana sudah jalinkan persefahaman dengan negara pengeksport seperti Thailand dan China," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Expo Makanan Antarabangsa Sabah 2024 (SIFEX2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Mohamad berkata, tahun ini, kementerian menekankan kepada pembangunan empat industri iaitu padi dan beras; ayam, itik dan telur; bawang merah dan nanas dalam memastikan kemajuan berterusan untuk menangani cabaran sekuriti makanan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian.

Iklan

Mengenai bekalan beras negara, beliau berkata, sasaran untuk mencapai 100 peratus kadar sara diri (SSR) perlu dilaksana bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk rakyat.

"Purata pengeluaran beras negara masih tidak mencukupi dengan kadar SSR hanya 65 peratus pada masa ini... namun, sasaran 100 peratus SSR itu boleh dicapai kerana kita masih mempunyai banyak kawasan tanah contohnya di Sabah, Sarawak dan Pahang.

Iklan

"Kita juga boleh mempelajari kaedah menanam dan membaja dengan betul. Di negara lain, mereka boleh peroleh hingga lebih 10 tan beras dalam satu hektar, tetapi Malaysia hanya mampu mendapat tiga hingga lima tan beras dalam satu hektar," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berharap partinya diberi peluang untuk meletakkan calon. - Bernama