PM lakukan lawatan rasmi ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac ini

Iklan
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

BERLIN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan sulung beliau ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau akan disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Iklan
Iklan

Semasa lawatan rasmi itu, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Canselor Jerman Olaf Scholz.

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Iklan

Perdana Menteri juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.

Semasa di Berlin, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Yayasan Korber iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik serta ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelständische Wirtschaft - BVMW).

Iklan

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi dari Eropah, sesi wawancara dengan media tempatan selain menghadiri majlis berbuka puasa bersama diaspora Malaysia di Jerman.

Anwar juga akan berkunjung ke Hamburg bagi menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman di mana beliau dijadual menyampaikan ucaptama.

Beliau juga dijangka memberikan temu bual eksklusif kepada Agensi Akhbar Jerman.

Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi Perdana Menteri itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang di antara Putrajaya dan Berlin.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion). - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28