SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula seksyen tertentu dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan pesalah dan penagih dadah di negara ini ditangani menerusi rawatan dan pemulihan.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pelaksanaan kaedah pemenjaraan terhadap pesalah dadah ketika ini tidak dapat mengurangkan masalah penggunaan dan ketagihan dadah di negara ini.
Menurutnya, sehingga September tahun lalu, jumlah banduan di semua penjara di seluruh negara berjumlah 75,379, melebihi kapasiti maksimum 69,816.
"Daripada jumlah tersebut, 23,523 daripadanya melibatkan kesalahan berkaitan penggunaan dan ketagihan dadah di bawah Seksyen 12(2), 15(1)(a) dan 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu hampir satu pertiga daripada jumlah penghuni penjara.
"Memandangkan tingginya bilangan tahanan dadah yang meringkuk di penjara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus menjalankan kajian menyeluruh sama ada kaedah punitif dalam menangani masalah tersebut berkesan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut mengalu-alukan pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) yang komited untuk membantu mereka yang bergelut dengan ketagihan dadah menerusi pendekatan pemulihan yang lebih berasaskan rawatan, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan penjara di negara ini.
Katanya, usaha oleh organisasi seperti Persatuan Pengasih untuk merawat pengguna dan penagih dadah harus dipuji dan digalakkan.
"Sudah tiba masanya kerajaan mengamalkan dasar dengan matlamat jangka panjang untuk memulihkan pesalah-pesalah ini yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara, serta mengurangkan bilangan banduan di penjara," katanya.