KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu terlibat dengan pendedahan yang dibuat dakwaan ahli Parlimen pembangkang membabitkan tawaran habuan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahli Parlimen termaktub dalam Akta Kuasa dan Keistimewaan Ahli Parlimen 1952 yang menetapkan bahawa ahli Parlimen mempunyai hak serta imuniti di Dewan Rakyat.
"SPRM kena faham kita ada Akta 345 ikut Akta Ahli Parlimen jadi SPRM tidak boleh masuk campur.
"Dia nak kata seminggu atau dua minggu dia (Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan) nak buat laporan (kepada SPRM) itu (terpulang) bila-bila masa dan sampai masa dia buat la laporan,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penutupan Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
Isnin lalu, SPRM memberi tempoh seminggu kepada Wan Saiful untuk tampil ke SPRM berhubung pendedahan beliau di Dewan Rakyat mengenai tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, sekiranya ahli Parlimen tersebut tidak berbuat demikian, satu tindakan terhadapnya akan diambil.
Pada 28 Februari lalu, Wan Saiful dilaporkan membuat pendedahan mengenai tawaran bernilai RM1.7 juta itu ketika perbahasan titah diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa sogokan tersebut adalah peruntukan wakil rakyat dan pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28