JAKARTA - Nama suami kepada pempengaruh Indonesia, Ulfa Merdeka, Hendra Outside tiba-tiba menjadi sebutan warganet di Indonesia ketika konsert The Eras Tour Taylor Swift di Singapura baru-baru ini.
Semuanya gara-gara tindakan Hendra menyarung baju-T putih yang dicetak kos keseluruhan yang dibelanjakannya untuk membawa si isteri menyaksikan konsert tersebut.
Pada bahagian hadapan baju-T yang dicetak terdapat tulisan berbunyi; ‘Saya bukan Swiftie, tetapi saya mahu membahagiakan isteri saya’.
Namun, apa yang menarik perhatian apabila bahagian belakang baju-T itu terpampang pecahan penuh perbelanjaan yang dikeluarkan pasangan itu menghadiri konsert pada 3 Mac lalu.
Berdasarkan perincian bajet yang ditulis termasuklah harga kos tiket 21.5 juta rupiah (RM6,478); tiket kapal terbang dari Surabaya ke Singapura – 7 juta rupiah (RM2,109) selain penginapan hotel untuk 1 malam – 3.8 juta rupiah (RM1,142).
Perbelanjaan lain yang turut diperincikan ialah makan dan minum – 3.8 juta rupiah (RM1,144); baju si isteri – 1 juta rupiah (RM 301); cenderamata – 1 juta rupiah (RM301), baju-T khas – 50 ribu rupiah (RM15).
Keseluruhannya, jumlah wang yang dibelanjakan Hendra adalah sebanyak 38,150,000 rupiah atau bersamaan kira-kira RM11,500. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28