‘Kita dilahirkan dengan keupayaan, keajaiban. Jangan sia-siakan’

Iklan
Ras Adiba Radzi

"SELEPAS disahkan lumpuh, saya hampir gila. Hanya baring, memandang dinding empat penjuru dan menangis. Saya hilang kawan dan pekerjaan. Waktu itu setiap hari saya berdoa 'Ya ALLAH, aku tidak tahu bagaimana nak teruskan hidup dengan keadaan seperti ini. Tolong bawa aku pulang'."

Demikian luahan personaliti penyiaran yang kini menjadi aktivis dan pejuang orang kurang upaya (OKU), Ras Adiba Radzi mengimbau perjalanan mencabar dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

Kongsi Ras Adiba lagi, kehidupannya ketika itu ditemani air mata kerana sukar untuk menerima kenyataan bahawa dari seorang yang aktif dalam sukan dan aktiviti lasak, kemudian bergelar OKU.

"Dari situ, saya belajar sesuatu dalam kehidupan iaitu kita lebih ramai kenalan daripada sahabat dan yang tidak pernah hilang adalah ALLAH.

Ras Adiba Radzi

Iklan

"Dia tidak pernah mengabaikan atau meninggalkan kita, hanya kita yang melupakan Dia. Maka di mana sahaja haluan kita, jangan terlepas daripada landasan bahawa Yang Maha Esa," luah bekas pembaca berita itu.

Imbau bekas Senator itu, pada 2003, beliau pernah menolak kerusi roda dari Johor Bahru ke Putrajaya.

Iklan

"Orang kata saya gila dan sampai sekarang saya tak tahu macam mana saya boleh buat. Tuhan itu Maha Adil. Dia ambil sesuatu daripada kita dan Dia gantikan dengan yang lain.

"Sebenarnya yang OKU itu bukan golongan kami tetapi persekitaran kerana persepsi masyarakat dan infrastruktur yang tidak sempurna itu mengurangkan upaya kami.

Sisipan khas sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024

"Saya okey dengan keadaan itu dan sentiasa cuba menyesuaikan diri dengan apa yang ada. Selalu juga ingatkan kepada diri supaya sentiasa melayan orang lain dengan baik walaupun mereka memandang rendah kerana kita tiada hak untuk menilai mereka," katanya.

Bekas Pengerusi Bernama itu mengakui, ramai yang bertanya siapa yang memberikan inspirasi kepada dirinya.

"Saya kata senang, (iaitu) diri saya sendiri. Hanya kita yang memahami dan menghargai diri sendiri dan kita sahaja yang boleh hargai keadaan susah atau senang.

"Saya selalu berkata kepada diri sendiri, 'its okey not to be okey (tidak mengapa kalau rasa tak baik). Golongan kami dilahirkan dengan penuh keajaiban, kekuatan, jadi kami kena puji diri sendiri.

"Saya selalu cakap kepada orang ramai, kekurangan adalah keupayaan kami. Kami juga mampu lakukan sebagaimana orang normal buat, cuma perlu beri peluang dan ruang," katanya.

Sisipan khas Sinar Ahad sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang menampilkan 10 Wanita Inspirasi Malaysia.

- INFO

Nama: Datuk Ras Adiba Radzi

Jawatan:

Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif Sentoria

Menerajui OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak OKU.

Pencapaian:

Dilantik menjadi Senator Dewan Negara

Wanita pertama dilantik menjadi Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia

Mencatat nama dalam Malaysia Book of Records atas kejayaan berkerusi roda sejauh 420 kilometer dari Johor Bahru ke Putrajaya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28