KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan ke rumah pelajar yang gagal hadir selepas seminggu sesi akademik 2024/2025 yang bermula pada Ahad melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.
Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan maklumat sebenar berkait dengan masalah keciciran pelajar di negeri ini.
"Dari segi kehadiran atau keciciran kita telah arah pihak sekolah melalui mesyuarat sebelum pembukaan sesi baharu supaya mereka memantau secara harian.
"Kita ada sistem. Cuma kebiasaannya pada minggu pertama persekolahan kita melihat dari segi bilangan yang telah ada pada tahun sebelumnya," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau melakukan tinjauan hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1 di sini.
Hadir sama ialah Guru Besarnya, Mohd Fauzi Ismail.
Menurut Mohd Zamri, pada masa itu pihaknya akan melihat balik keperluan dari segi pelajar yang tidak hadir.
Ujarnya, daripada ketidak hadiran itu pihaknya boleh mengesan keciciran yang berlaku.
Beliau memberitahu, kalau tidak hadir hari pertama pelajar mungkin ada masalah.
"Kalau seminggu, pihak sekolah akan ambil tindakan segera dengan kerjasama PPD akan ke rumah pelajar.
"Ini yang selalu kita buat sebelum ini. Untuk tahun 2024 belum ada data lagi dan ia akan diambil tindakan segera oleh sekolah.
"Kebiasaannya keciciran pelajar adalah melibatkan masalah ekonomi, kesihatan dan sebagainya," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohd Zamri memberitahu, untuk pembukaan sekolah sesi akademik kali ini ia melibatkan 251,185 pelajar di seluruh Kelantan.
Ujar beliau, kesemua pelajar tersebut ditempatkan di 595 buah sekolah seluruh negeri melibatkan sekolah rendah (418) dan menengah (177).
Tambahnya, guru yang terlibat ialah 28,645 orang.
"Untuk tahun ini kita menerima pendaftaran murid darjah satu seramai 28,964 orang.
"Jumlah tertinggi di PPD Kota Bharu iaitu 9,053 orang, diikuti Pasir Mas (3,230), Kuala Krai (2,960), Tumpat (2,872), Bachok (2,590), Pasir Puteh (2,092), Tanah Merah (1,971), Gua Musang (1,904), Machang (1,460) dan Jeli (832)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!