JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti cadangan mewujudkan peraturan khas bagi membendung trend penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin meningkat ketika ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, selain peraturan khas tersebut, KPM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mengawal dan menangani urus niaga produk vape khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
"Di sekolah-sekolah memang sudah ada peraturan dan panduan khas mengenai perkara itu (vape, rokok dan dadah).
"Malah mandat juga sudah diberikan kepada guru-guru di sekolah dalam usaha mengekang penularan trend vape dan merokok ini.
"Selain itu, Insya-ALLAH kita juga akan bersama KKM untuk melihat cadangan (peraturan khas) mengenai peningkatan trend pelajar menggunakan vape termasuk rokok.
"Ini antara komitmen KPM bagi memastikan perkara ini (peningkatan vape) dapat ditangani dan dibendung, malah inisiatif sudah dilaksanakan kementerian bersama pelbagai agensi termasuk AADK," katanya.
Azman berkata demikian pada sidang akhbar setelah meninjau hari pertama persekolahan bagi sesi 2024/25 di SMK Sultan Ismail (SSI), di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin; Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad dan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Saliman Selamat.
Untuk rekod, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada 5 Mac lalu mendedahkan seramai 15 pelajar perempuan di setiap sekolah didapati menghisap vape dengan tiga hingga empat daripadanya mengalami ketagihan nikotin yang serius.
Selain itu difahamkan, pengguna yang menghisap vape dan e-rokok pula didapati menunjukkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda, ketika ini.
Sementara itu, Azman berkata, isu vape sebenarnya berkait rapat dengan isu disiplin dalam kalangan pelajar.
Oleh itu katanya, kerjasama dengan PDRM, KKM dan AADK sebenarnya sudah lama diadakan dan ia akan berterusan selepas ini bagi memastikan gejala atau trend vape dapat dibanteras dengan sehabis baik.
"Isu disiplin ni sebenarnya membabitkan semua pihak, bukan sahaja guru serta pengurusan sekolah malah ibu bapa dan masyarakat bagi memberikan kesedaran terhadap bahaya rokok dan vape.
"Proses pendidikan bagi menangani isu disiplin sebegini sudah lama dilaksanakan KPM dan kita nampak perkembangan positif kerana dapat komitmen jitu ibu bapa yang tak mahu anak terjebak dengan rokok, vape dan dadah," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28