KUALA TERENGGANU - Tahap produktiviti setiap pekerja di Malaysia meningkat kepada RM96,692 tahun lepas, berbanding RM95,858 pada 2022.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, bilangan pekerja turut menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 2.5 peratus dengan jumlah 16.3 juta orang, sekali gus menggambarkan pasaran tenaga kerja yang stabil dan peningkatan aktiviti ekonomi di negara ini.
"Ini juga mencerminkan trajektori positif pewujudan peluang pekerjaan baharu.
Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama semua pihak di sektor awam dan swasta. Usaha bersama ini perlu diteruskan dan diperkukuhkan di masa hadapan agar sasaran dan matlamat negara boleh dicapai. Hasilnya dinikmati bersama, kepada perkhidmatan awam, pemain industri, anak-anak kita dan generasi yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di sini pada Ahad.
Mohd Zuki berkata, berdasarkan laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023, Malaysia kekal pada kedudukan ke-36 dari kalangan 132 buah negara dengan peningkatan skor keseluruhan kepada 40.9 berbanding 38.7 pada 2022.
Malaysia katanya, berada pada kedudukan ke-27 dalam Laporan Ranking Daya Saing Dunia 2023 berbanding ke-32 pada tahun sebelumnya.
"Ini menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah status negara maju dan berpendapatan tinggi. Pencapaian dan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa menjadi bukti bahawa kepimpinan, dasar dan tindakan strategik negara berkesan dan menjurus kepada pencapaian sasaran, seperti yang diaspirasikan dalam kerangka Ekonomi MADANI untuk Malaysia berada antara 30 ekonomi terbesar dunia dan 12 negara paling berdaya saing dalam tempoh sepuluh tahun,” katanya.
Dalam pada itu Mohd Zuki berkata, pada 2022, Terengganu merekodkan peningkatan prestasi produktiviti pekerja memberangsangkan iaitu 3.4 peratus dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM77,695 berbanding pengembangan 2.8% (RM75,167) pada 2021.
Pada tahun ini, katanya, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Terengganu berkembang 6.9 peratus, disumbangkan oleh peningkatan produktiviti antara empat hingga lima peratus.
Selain itu Mohd Zuki berkata, kerajaan sedang melaksanakan inisiatif mempercepatkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar antaranya menerusi Pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Kementerian Ekonomi bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dan bantuan serta subsidi sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan.
Beliau berkata, di Terengganu terdapat 8,057 keluarga miskin tegar dan lebih 30 ribu keluarga miskin, sehubungan itu beliau berharap pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan akan menoktahkan kemiskinan tegar di negeri berkenaan menjelang akhir tahun ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!