Jelajah BPN Tanjong Karang bukan kempen PRK - Mohamed Azmin

Iklan
Mohamed Azmin (kiri) beramah-mesra bersama rakyat pada Program BPN di Kampung Permatang di sini pada Ahad.

KUALA SELANGOR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan Program Badan Perhubungan Negeri Selangor (BPN) yang diadakan di Tanjong Karang sebagai persiapan parti itu sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen itu.

Mohamed Azmin berkata, sebaliknya jelajah itu diadakan di seluruh Selangor bagi memperkukuh dan memperkuatkan lagi parti itu.

Iklan
Iklan

"Saya mulakan jelajah ini di (Bersatu Bahagian) Kota Raja minggu lepas dan pagi ini di Tanjong Karang dan sebentar lagi selepas Zohor saya di Kuala Selangor," katanya ketika ditemui selepas Program BPN di Kampung Permatang di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, parti itu juga bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan termasuk berlakunya PRK di Parlimen Tanjong Karang.

Iklan

"Ini membuktikan komitmen parti untuk membantu Bersatu dan PN, walaupun matlamat asal jelajah ini adalah untuk perkukuh jentera parti di semua peringkat.

"Dengan perkembangan terkini di Tanjong Karang, sudah tentu kita parti politik harus siap siaga dengan apa jua kemungkinan, namun matlamat utama kita adalah fokus untuk memperkukuh Bersatu bahagian ini dengan dukungan daripada rakan Pas," jelas beliau.

Iklan

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN memberitahu, Bersatu juga akan meningkatkan kerjasama dengan dua parti gabungan itu iaitu Pas dan Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Menurut beliau, kerjasama Bersatu dan Pas di Tanjong Karang memperlihatkan kerjasama dan jentera berada pada tahap terbaik.

"Walaupun kita menang dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dengan jumlah undi sokongan 18,000 tetapi sembilan bulan kemudian dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) melibatkan DUN Sungai Burung dan Permatang, PN meningkatkan lagi sokongannya 10,000 lagi dengan meraih sokongan 28,000 undi," jelas beliau.

Kata Mohamed Azmin, sekiranya berlaku PRN, beliau yakin parti itu akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang.

"Saya yakin situasi ekonomi hari ini, keadaan politik dan demokrasi tidak matang di bawah kepimpinan Madani, rakyat dapat membuat pilihan tepat sekiranya PRK," ujarnya.

Sinar Harian pada 24 Januari lalu melaporkan, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadikannya wakil rakyat pembangkang keenam bertindak demikian.

Zulkafperi berkata, pengisytiharan sokongan tersebut dibuat sepenuh hati demi kepentingan penduduk Tanjong Karang tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!