IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih menunggu keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Selangor untuk menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kerajaan Selangor secara berprinsip bersetuju menerima pakai akta tersebut dan rundingan lanjut akan dilakukan sebaik sahaja menerima keputusan tersebut.
"Saya difahamkan kerajaan Selangor secara prinsip yang mana saya sendiri telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan tuanku sudah perkenan untuk negeri Selangor menerima pakai Akta 672.
"Kita sedang menunggu keputusan MMK, kertas MMK daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk kita mulakan rundingan secara terperinci," katanya dalam sidang akhbar pada Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) Pelancaran Karnival Komuniti PPR Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Menurut Kor Ming, selepas Selangor, pihaknya turut aktif mengadakan perbincangan bersama kerajaan Pulau Pinang untuk perlaksanaan akta tersebut.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh negeri telah menggunakan akta tersebut iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Kerajaan kini dalam tahap perbincangan yang aktif bersama Selangor dan Pulau Pinang, sekiranya bersetuju maka kita akan memperoleh sembilan negeri menerima pakai akta itu.
"Kita mengalu-alukan kerajaan negeri lain termasuk Perak terus berunding supaya kerjasama strategik ini akan memberi manfaat kepada penduduk.
"Bagaimanapun terpulang kepada kerajaan negeri buat pendirian, kita menghormati kerajaan negeri untuk terus berunding dengan KPKT, pintu rundingan sentiasa terbuka," katanya.
Kor Ming berkata, kementerian berusaha memastikan lebih banyak negeri menerima pakai akta menerusi Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC).
"Kita akan terus mempertingkatkan usaha ini dengan penubuhan NCEC yang dipengerusikan oleh saya sendiri selaku Menteri KPKT.
"Kita akan mempergiatkan usaha kita merancakkan ekonomi kitaran di negara ini selaras dengan hala tuju yang jelas iaitu menuju ke Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28